Gara-gara mimpi hari kiamat seorang gangster dari negara jiran yang dikenali dengan nama 'Abang Long Fadhil' atau nama sebenarnya Muhd Fadhil, 29 kini memilih untuk kembali ke jalan ALLAH SWT.

Video tentang cerita ini yang dikongsi dalam satu rakaman ceramah yang berlangsung di Masjid Jamiul Jalal Wal Kamal, Pajak Song, Kepala Batas, Pulau Pinang menjadi viral di media sosial beberapa hari lalu.
Dalam ceramah itu beliau menceritakan pengalaman hidupnya semasa bergelar gangster untuk dijadikan pengajaran kepada umat Islam yang lain.

Detik keinsafan Fadhil adalah perkongsian yang paling menarik dan menyentuh hati. Dalam peristiwa pada tahun 2014 itu, ujarnya selepas bermimpi kiamat  hampir sebulan dia tidak keluar dari rumah.

"Saya takut mati. Satu hari kawan telefon tanya nak pergi masjid atau tak. Ketika itu saya tersentak sebab kalau saya keluar rumah saya mati dan kalau saya tidak keluar rumah, saya pasti mati.

“Tapi seminggu, dua minggu saya pergi masjid, bertemu jemaah tabligh dan mula berhijrah. Namun masih belum lagi mencari ALLAH dengan sempurna. Selepas genap 40 hari bersama mereka, saya benar-benar yakin keesaan ALLAH SWT itu,” katanya melalui rakaman video yang disiarkan Ar-Rahman TV.

Dalam ceramah yang sama, turut diundang adalah ibu kepada Fadhil. Bersama tangisan beliau bercerita tentang keadaan anaknya sewaktu menjadi gangster dan apa yang dilakukan sehingga anaknya boleh berubah.

"Saya melahirkan dia, membesarkan dia. Dia anak yang paling baik sekali. Saya tak menyangka dia akan berubah kerana berkawan. Tapi saya sebagai ibu tetap mendoakan dia, saya tetap tak kecewa. Saya tak buang dia.

"Pernah saudara-saudara, keluarga saya tanya kenapa anak kau macam gini? Satu hari nanti anak kau akan pijak kepala kau.

"Saya jawab tak semua pisang setandan tu busuk. Kalau busuk sekali pun sebagai ibu kita kena mendidik, kena jaga bukan membuang. Itu adalah anak yang diamanahkan untuk kita.

"Ini semua cubaan ALLAH untuk melihat keimanan, ketakwaan kita pada Dia. Kadang-kadang selepas kita dapat atasi cubaan, nanti ALLAH turunkan lagi cubaan tapi kita tidak boleh putus asa.

"Yang menentukan adalah ALLAH, hidayah adalah milik ALLAH, kita hanya mendoakan yang terbaik untuk dia. Bukan menyumpah, mengata dan mendoakan yang tidak baik tapi kita mendoakan yang terbaik untuk dia.

"Insya-Allah ALLAH akan kabulkan, tapi ia tak secepat itu. Kita kena lalui macam macam rintangan bertahun-tahun, kadang kadang kita menangis dengan ALLAH. Tapi kata ALLAH mintaklah kepada Dia.

"Dan ALLAH juga takkan jawab pada masa itu juga, makan tahun. Tapi sekarang tengok dengan kuasa ALLAH, Dia dah beri jawapan pada saya. Saya rasa aman sejahtera. Amin," ujarnya sebak.
http://support.karangkraf.com/editorial/vk/TAHUN%202016/Mei/16/6.jpg
Dipandang Seolah-olah Tak Tahu Jaga Anak

Beliau turut mengakui anak bergelar gangster menyebabkan dia sebagai ibu turut terpalit dengan pandangan negatif orang sekeliling termasuk ahli keluarga dan saudara mara. Namun sekali lagi beliau tidak pernah berputus asa mendoakan agar anaknya berubah.

"Pandangan orang kepada anak saya buruk, lebih lebih lagi kepada saya. Seolah-olah saya tak tahu jaga anak. Saya dah bimbing anak saya, dah beri tunjuk ajar tapi dia dapat semua ini melalui kawan.

"Dia anak yang mendengar cakap, dia tak terus hanyut. Sebagai seorang ibu saya mendoakan yang terbaik. Tak boleh putus asa.  Sekarang tengok kuasa ALLAH. Dia telah membuka pintu hati anak saya untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang lurus," luahnya.

Terdahulu, dalam nada sayu Fadhil mengakui telah banyak melukakan hati ibunya dan jalan baharu dipilihnya itu selain demi ALLAH, ia juga demi untuk menggembirakan si ibu.

Semoga kita mendapat pengajaran daripada kisah Abang Long Fadhil ini.