Che Ta maintain jelita dan menawan di usia 40 an |
Dalam usia 40-an, Che Ta masih kelihatan jelita dan menawan umpama ‘anak dara’. Memiliki ukuran pinggang 24 inci, ramai cemburukan penampilan Che Ta, ibu tiga anak termasuk dua anak lelaki meningkat remaja dan berkahwin lelaki muda, Zain Saidin, 31.
Che Ta juga tidak lokek berkongsi rahsia penjagaan kecantikan dirinya hingga mampu kekal jelita dan memiliki tubuh langsing untuk ruangan Tip Glam.
Dia sangat menitikberatkan penjagaan kecantikan sejak anak dara lagi. Dia menjaga penampilan diri dengan memastikan badan kurus dan kekal langsing sebelum aktif dalam industri seni dan bergelar selebriti.
Katanya, sebagai wanita tidak kira suri rumah atau berkerjaya, menjaga gaya dan penampilan diri perlu diberi keutamaan.
“Saya memang suka sentiasa kelihatan cantik dan bergaya dalam penampilan. Oleh itu, saya motivasikan diri untuk kurus. Ia bagaikan satu kepuasan untuk diri.
“Dalam soal ini, saya mahu tampil cantik dan bergaya kerana diri sendiri dan bukan kerana mahu menarik perhatian orang.
“Bagi saya, apa yang dilakukan atas kerelaan sendiri itu sangat bermakna kerana secara tidak langsung hati menjadi puas, gembira dan bahagia,” katanya.
Antara rahsia Che Ta ialah menempah pakaian dengan ukuran kecil.
Katanya, selepas memberi ukuran kepada pereka fesyen, menjadi motivasi dirinya mengurangkan berat badan seperti diidamkan.
“Saya biasanya akan pastikan ukuran pakaian yang ditempah itu muat dengan tubuh. Ini kerana saya suka menggayakan busana yang selesa dipakai.
“Lagipun, hingga kini saya masih boleh menggayakan pakaian yang ditempah 10 tahun lalu. Ia satu perkara yang dibanggakan.
“Saya sendiri terkejut kerana masih boleh mengenakan pakaian yang sudah bertahun-tahun lamanya,” katanya.
Turut mengamalkan penjagaan pemakanan, hakikatnya setiap hari Che Ta makan nasi, cuma bergantung kepada jumlah diambil. Kalau hari ini makan banyak, esoknya jumlah makanan diambil pasti dikurangkan.
“Ia bagi mengelakkan pengambilan berlebihan. Saya sangat menjaga pemakanan sepanjang dalam pantang selepas melahirkan Aaisyah Dhia Rana,” katanya.
Aaisyah yang kini berusia setahun tiga bulan, hasil perkongsian hidup bersama Zain. Dua lagi anak Che Ta ialah Ammar Effendy, 20, dan Aniq Ezzra, 18.
Ketika mengandungkan Aaisyah, berat badannya mencecah 90 kilogram dan dia simpan tekad untuk kurus semula selepas bersalin.
Dalam tempoh 44 hari berpantang itu, Che Ta sangat menjaga makan dan mengamalkan petua orang tua yang wajar digunapakai.
“Saya berbengkung dan bertungku setiap hari. Kaedah itu sangat membantu untuk mengempiskan perut bagi mendapatkan semula bentuk badan asal.
“Proses bertungku dapat mengecutkan rahim yang bengkak selepas bersalin. Ia juga bertujuan mengeluarkan darah beku yang tertinggal di dalam perut. Saya juga elakkan ambil makanan sejuk,” katanya.
Che Ta akui sukar untuk menepis dugaan selera makan. Apapun katanya, semua bergantung kepada diri sendiri.
“Makan dan minum memang perlu kepada ibu dalam pantang untuk mendapatkan tenaga. Cuma perlu peka dengan kuantiti diambil.
“Ketika dalam pantang dulu, saya tidak minum air dengan kuantiti banyak tetapi saya pastikan minum lebih kerap,” katanya.
Selepas habis pantang, Che Ta puas hati kerana tekadnya untuk turunkan berat badan berhasil. Kini berat badannya ialah 50 kilogram.
0 comments:
Post a Comment