WAJAH Dr. Noordin Ahmad yang disiarkan Facebook rasmi FC Bari sebagai pemilik baharu mereka.
PENONTON di Stadium San Nicola, Bari Itali membawa kain rentang mengucapkan selamat datang kepada pemilik baharu mereka, Datuk Noordin Ahmad ketika perlawanan menentang AC Cesena, 4 April lalu.
JALUR Gemilang dikibar di Stadium San Nicola, Bari, Itali ketika perlawanan Serie A di antara FC Bari menentang AC Cesena, 4 April lalu.
KUALA LUMPUR 12 April – Selepas Tan Sri Vincent Tan dan Tan Sri Tony Fernandes, seorang lagi ahli perniagaan Malaysia, Datuk Dr. Noordin Ahmad mengikut jejak mereka dengan membeli kelab bola sepak luar negara.
Bagaimanapun, jika Vincent dan Fernandes lebih gemar memiliki kelab dalam liga paling popular di dunia iaitu Liga England, Dr. Noordin sebaliknya memilih untuk membeli saham kelab kurang ternama Itali, FC Bari 1908 yang bersaing dalam divisyen dua negara itu.
Berita mengenai pembelian tersebut tersebar dalam media sosial hari ini, dan ia kemudian disahkan sendiri oleh FC Bari dalam satu kenyataan di laman web rasmi mereka,www.fcbari1908.club.
Menurut laporan akhbar Itali, Calcio Finanza, Dr. Noordin telah menandatangani perjanjian awal dengan Presiden kelab, Gianluca Paparesta yang menjual 50 daripada 95 peratus sahamnya dalam kelab berkenaan.
Bagaimanapun menurut mereka, operasi pemilikan tersebut perlu menunggu sehingga Dr. Noordin bersama peguamnya tiba di Bari.
Berita tersebut disambut positif oleh penyokong FC Bari yang dilihat mengucapkan selamat datang kepada usahawan dari Malaysia itu, baik di laman-laman sosial, mahupun ketika menonton perlawanan di stadium.
Pengumuman itu juga memberi harapan baharu kepada peminat, malah turut mencipta sejarah tersendiri apabila FC Bari bakal menerima rakan niaga dari luar negara buat pertama kali selepas beratus tahun lamanya.
Perjanjian awal tersebut telah ditandatangani di antara Paparesta dengan Dr. Noordin pada Jumaat lalu.
Sebelum ini FC Bari pernah cuba menarik minat pelabur dari China, Herman Zheng untuk membeli saham majoriti kelab bagaimanapun perancangan tersebut menemui jalan buntu.
Kejayaan Dr. Noordin untuk memiliki saham majoriti dalam kelab luar bukan sesuatu yang baharu buat Malaysia.
Pengerusi Kumpulan Berjaya, Vincent merupakan pemilik kelab Wales, Cardiff City yang beraksi dalam Liga Kejuaraan England, selain turut memiliki kelab Belgium, K.V. Kortrijk dan FK Sarajevo dari Bosnia Herzegovina.
Taikun penerbangan, Fernandes pula merupakan pemilik Queens Park Rangers (QPR). - Utusan
Possibly Related Threads...
0 comments:
Post a Comment