Kuala Lumpur: "Jenaka terhadap kes rogol apatah lagi membabitkan pembunuhan adalah sesuatu yang tidak berakal dan tidak sepatutnya berlaku.
"Ini menunjukkan mereka tidak peduli dengan nasib ramai mangsa yang menderita sebab dirogol malah menjadikannya sebagai bahan jenaka. Paling mengejutkan, ramai pula yang menyokong jenaka berkenaan."
Itu luahan seorang wanita berusia 25 tahun, Azleen Sharuddin yang juga seorang pengedar buku mengenai status akaun Facebook (FB) dengan nama Amran Fans yang seolah-olah mempersendakan kematian Enno Parihah, 19, yang diperkosa sebelum dibunuh kejam.
Kisah kematian gadis warga Indonesia itu viral di laman sosial apabila dia dipercayai mati selepas dipukul dengan cangkul sebelum batang cangkul itu dirodok ke dalam kemaluannya.
"Jadi saya sebagai seorang daripada ejen jualan dua buku Amran Fans berjudul Amran Fans dan #TheAmranFans membuat keputusan untuk memberhentikan jualan buku-buku itu.
"Saya melakukan protes dalam bentuk ekonomi supaya mereka sedar sesiapa saja rakyat Malaysia yang waras dan merasakan jenaka berkenaan melampau boleh buat sekatan," katanya ketika dihubungi.
Azleen antara wanita yang kecewa apabila akaun FB itu sebelum ini memuat naik perbualan di telefon bimbit mengenai seorang lelaki menghantar gambar cangkul apabila seorang wanita enggan melayan sapaannya.
"Pada saya ini tidak kelakar. Adakah apa yang berlaku terhadap Enno itu akan berlaku juga kepada wanita yang enggan melayan sapaan lelaki apabila menerima gambar cangkul?" soalnya yang juga bekerja sebagai kerana di syarikat milik keluarga di Teluk Intan, Perak.
Sementara itu, pemilik Kedai Buku Mak Ali di Kajang, Mohamad Ali Rafiq Ibrahim, 23, turut terkesan dengan jenaka 'tidak kena tempat' itu dengan menurunkan dua buku berkenaan daripada rak .
"Saya terkesan dengan lawak Amran Fans yang merendah-rendahkan perempuan. Kita sokong usaha boikot buku ini kerana industri ini kecil dan kita saling menyokong.
"Bila Azleen buat macam itu, kami rasa patut buat juga sebab tidak mahu orang memperkatakan saya menyokong Amran Fans.
"Secara peribadi saya rasa jenaka berkenaan sangat melampau kerana sepatutnya apabila kita bercakap mengenai isu jenayah rogol, respon adalah sangat marah, tak patut pun wujud jenaka macam itu sebab ia sangat serius, tak patut dibuat main-main," katanya.
Ali Rafiq yang juga pelajar tahun akhir Sarjana Muda Komunikasi Massa dalam bidang penerbitan turut menerima sokongan ramai pihak apabila menghentikan penjualan buku berkenaan.
"Semuanya sangat positif dan sokong kami. Orang cakap kami buat perkara yang betul, bagus, 'good job'. Buku itu pun tidak menjejaskan operasi kedai saya sebab banyak lagi buku lain.
"Kalau rugi sekalipun tidak mengapa sebab saya buat benda yang baik dan bukannya sokong benda yang tidak betul," katanya.
Menurutnya, tindakan dibuat adalah atas rasa tanggungjawab ini perlu supaya kewujudan pengedar dan kedai buku kecil sepertinya disedari dalam industri penerbitan buku yang juga memainkan peranan penting dalam masyarakat.
Pengendali laman berkenaan dipercayai sudah membuat permohonan maaf menerusi akaun FB dengan nama Kassim Nasution, yang mengakui status berkaitan cangkul itu satu kesilapan.
"Korang semua orang-orang lama, so (jadi) aku yang baru ini dengan rendah diri angkat kaki. Lepas ini Amran Fans tak akan terlibat lagi dengan sebarang bentuk kerjasama dengan Dubook (penerbit buku)," katanya.
Akaun FB Amran Fans yang mempunyai lebih 900,000 pengikut juga sudah ditutup pihak Facebook selepas menerima aduan daripada pelayar laman sosial berkenaan
0 comments:
Post a Comment